Translate

Rabu, 20 Mac 2013

Noh Omar: Fokus BN Rampas Selangor.


 Noh Omar: Fokus BN rampas Selangor
Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat menonjol atau memperkenalkan lebih awal siapa yang akan menjadi calon menteri besar Selangor jika berjaya menawan kembali negeri itu kerana tidak mahu mencetuskan suasana "kecoh".
Menurut Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, mustahil di antara 35 senarai calon yang mewakili Umno bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tiada ciri kepimpinan sebagai menteri besar.
Cuma, kata beliau, pihaknya lebih berminat dan mahu menumpukan usaha merampas kembali negeri ini.
"Bagi kita, kita tak kira (siapa calon menteri besar).
"Kalau lagi banyak cakap tentang siapa menteri besar, kecoh nanti. Kita pun tahu, kita tak mahu terperangkap dengan jolokan-jolokan ini," katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online di pejabatnya di sini, semalam.
Perlembagaan negeri Selangor jelas mengatakan menteri besar di negeri ini mestilah orang Melayu beragama Islam.
"Tak akan daripada 35 ini tak ada seorang yang layak jadi menteri besar. Calon kita terdiri daripada pelbagai lapisan, latar belakang," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor.
Noh diminta mengulas pandangan daripada Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, penting kepada BN Selangor memberi gambaran serta menonjolkan barisan kepimpinan baru di Selangor terutama calon menteri besar bagi menggantikan kerajaan PKR sekarang.
Menurut Abdul Aziz, pemimpin itu harus diidentifikasikan supaya rakyat boleh membuat penilaian awal seterusnya menyumbang kepada kemenangan BN di Selangor
Namun menurut Noh, itu hanya teori.
BN, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, sudah merangka strateginya dalam merampas Selangor dan tidak mahu isu calon menteri besar ini merosakkan semua perancangan yang sudah dibuat.
"Kalau kita kata A misalnya dikatakan calon menteri besar, apa kesannya?
"Kalau ada orang lain pula yang berangan hendak jadi menteri besar, dia akan cari jalan nak jatuhkan A.
"Kalau A pula tahu dia akan jadi menteri besar, dia pula akan susun kroninya," kata Noh sambil menegaskan itu tidak sepatutnya berlaku.
Malah kata beliau, kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 juga tidak menonjolkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon menteri besar.
"PRU13 ini, berani atau tidak Khalid hendak isytihar dia akan kekal sebagai menteri besar (kalau menang)? Kalau ikut Azmin, Khalid layak Parlimen sahaja," bidasnya terhadap kepimpinan PKR yang kucar-kacir kerana persaingan merebut kuasa sesama mereka.
Noh pada masa yang sama menolak dakwaan kononnya berlaku pergeseran dalam BN Selangor.
Timbul dakwaan BN Selangor kekontangan pemimpin dan mereka juga gagal menyerlah sebagai calon menteri besar termasuk Noh sendiri.
-sinarharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Di minta kerjasama dari anda agar dapat menggunakan bahasa orang yang berilmu walau semarah mana pun anda terhadap satu-satu artikel kerana ia akan dibaca oleh semua lapisan kaum, ideologi, agama, tua atau muda, cerdik atau kurang. Pihak kami tidak akan sesekali bertanggungjawab terhadap komen-komen yang anda lontarkan pada setiap artikel kerana kami juga tidak akan sesekali menapis, memadan, menahan dan menolak setiap komen-komen anda. Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih diatas segala komen yang anda berikan pada setiap artikel yang diterbitkan. Kami juga menerima segala pandangan tentang laman ini untuk kebaikkan semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular